"Tip bisnes: Apabila kita membuka gerai makan, tolong naikkan bisnes gerai-gerai sebelah menyebelah kita supaya bisnes mereka laku dan gerai mereka banyak pelanggan. Apabila deretan gerai di mana gerai kita terletak sibuk dengan banyak pelanggan, dan kelihatan sentiasa sibuk, jualan gerai kita sendiri akan naik. Tidak ada pelanggan mahu membeli sesikat pisang yang cuma sebiji masak menguning, sedangkan yang lain masih mentah! - puan sifu Ainon Mohd."
Saya bersetuju dengan tips yang dikongsikan oleh puan sifu Ainon. Tapi itulah, ada sesetengah kita tidak boleh berniaga cara sebegini. Kalau dia buka tapak, kalau boleh dia nak monopoli jualan. Saya ingat lagi, sewaktu saya belajar di Melaka, selepas solat jumaat, kebiasaannya hanya ada seorang sahaja yang menjual ubat tradisional di luar masjid.
Pada hari itu, datang pula seorang penjual ubat tradisional dan menjual betul-betul disebelah penjual satu lagi. Apa yang saya lihat reaksi penjual lama ini, beliau terus-terusan menyindir si penjual yang baru saja berniaga disebelahnya.
Katanya, si penjual baru ini telah kacau periuk nasinya. Mungkin dia lupa yang rezeki tu datang dari Allah s.w.t. Sepatutnya sebagai seorang yang menjalankan perniagaan, kita harus saling sokong menyokong antara satu sama lain. Kita lihat bagaimana orang melayu berniaga di uptown, orang cina berniaga di Petaling Street.
Mereka boleh berniaga bertahun-tahun walaupun antara mereka banyak menjual barangan yang sama. Jangan berniaga seperti syok sendiri. Di internet pun begitu juga, jangan kerana ada orang lain berniaga produk yang sama, kita sudah terasa seperti pesaing cuba pancung kita.
Dan kepada pesaing pula, nak berniaga tu boleh, janganlah rosakkan harga pasaran dengan turunkan harga begitu rendah sehingga masing-masing tidak boleh menjana keuntungan. Yang untung pembeli, yang merana akhirnya penjual itu sendiri.
Jumpa lagi,
Noorizam Shah