Kita semua adalah manusia yang tidak lari dari melakukan kesalahan samada ia disengajakan ataupun tidak disengajakan. Saya berdoa kepada Allah semoga tahun ini saya diberikan kekuatan sekali lagi untuk mencari pahala ganjaran sepanjang bulan Ramadhan ini.
Sebagai permulaan, tadi dapat juga saya mengerjakan solat terawih berjemaah di surau Baiturrahman, Putra Heights bersama penduduk disini. Ramai juga yang datang sampai saf solat melimpah diruang luar surau.
Di Facebook juga, ramai juga kawan-kawan yang update status berkaitan dengan kehadiran bulan Ramadhan. Ada yang menulis ucapan-ucapan dan diharap wall facebook akan dipenuhi dengan perkataan-perkataan dan perkongsian-perkongsian yang baik dan bermanfaat buat semua.
Di blog pula, menjadi tradisi buat blogger untuk berkongsi info mengenai kedatangan Ramadhan. Paling banyak sekali, post berkaitan lafaz niat puasa. Al-maklumlah puasa sebulan setahun sekali. Antara lafaz niat yang sering dikongsikan kepada rakan pembaca adalah seperti berikut:
Lafaz Niat Ringkas
نَوَيْتُ صَوْمَ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku puasa Ramadhan kerana Allah Taala.
Lafaz Niat Lengkap
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.
Lafaz Niat Untuk Sebulan
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.
Ada pendapat mengatakan, amat digalakkan berniat puasa untuk sebulan dengan sekali niat pada malam pertama Ramadhan bagi mengelakkan daripada perbuatan tidak sah puasa kerana terlupa berniat pada malam harinya. Wallahualam.
Dengan ini saya ucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan dan selamat berpuasa buat semua rakan pembaca yang menyambutnya. Mohon maaf kiranya jika terdapat sebarang kekurangan dan kelemahan saya sepanjang saya menulis di blog ini. Jika ada yang terguris perasaan, saya susun jari sepuluh mohon diampun.
Selamat berpuasa!
Jumpa lagi,
Noorizam Shah