Tuesday, August 9, 2011
Menjalankan bisnes di eBay menjadi unik dan hebat apabila kita berada di dalam satu komuniti yang sama.
6 tahun dulu, saya hanya mengenali beberapa orang sahaja yang menjalankan perniagaan di eBay. Itu pun berkenalan secara maya sahaja. Belum pernah berjumpa dengan mereka ini sehinggalah saya mengadakan seminar berkaitan bisnes eBay pada tahun 2008. Sehingga kini saya dapat kenal pelbagai lapisan masyarakat yang berbeza latar belakang.
Saya gembira kerana masih ada yang menyokong usaha saya berkongsi panduan buat mereka yang ingin memulakan perniagaan di eBay. Ia bukan satu perkara yang mudah kerana dalam waktu itu, saya perlu melalui pelbagai cabaran samada pandangan negatif beberapa orang yang tidak suka dengan apa yang saya lakukan.
Mereka tidak suka saya dedahkan peluang pasaran yang ada, mereka tidak gembira bersaing secara sihat. Mereka tidak mahukan sebarang cabaran dalam persaingan.
Apapun saya gembira melihat mereka yang sudi datang belajar dengan saya, berusaha dan menjana pendapatan di eBay. Boleh dikatakan setiap hari saya akan terima emel, mesej di facebook dan panggilan telefon daripada mereka yang berkerja sebagai seorang pegawai tentera, guru, pensyarah, kakitangan kerajaan dan swasta, pelajar dan suri rumah, mendengar kisah kejayaan mereka adalah satu khabar yang begitu indah buat saya.
Saya tahu, tugas saya hanyalah menyampaikan ilmu bermanfaat, selebih itu adalah kekuasaan Allah taala. Namun saya masih lagi rasa terkilan dengan segelintar mereka (bukan peserta seminar saya) yang suka memandang rendah keupayaan orang lain, memperlekeh usaha dan idea orang lain.
Ingatlah mereka diluar sana, ilmu tidak akan datang bergolek. Ilmu itu bukan datang terus kepada kita melainkan melalui perantaranya. Jangan mudah kita klaim apa yang kita usaha itu adalah usaha kita semata-mata. Tanpa hidayah dan petunjuk, usaha kita juga tidak akan memberi apa-apa makna.
Tak perlu kita selalu menunding jari memperkata orang itu dan ini. Menceritakan keburukan orang lain, mempersenda orang lain, menjatuhkan maruah orang lain walaupun kita tidak menyebut secara terang-terangan.
Di eBay, soal niche, produk yang dipasarkan, bukanlah milik kita semata-mata. Soal produk itu menyalahi polisi atau tidak, sepatutnya penjual sendiri tahu akan risiko menjual produk tersebut. Janganlah sebab penjual tersebut dihukum, orang lain pula dikaitkan dengan apa yang berlaku.
Lebih sedih apabila mereka ini bersikap angkuh dan bongkak seperti orang lain itu berfikiran cetek dan dungu, hanya tahu meniru, tidak lebih daripada apa-apa.
Kasihan melihat orang-orang ini kerana apa yang dikatakan sebenarnya memberi tempias kepada ramai orang di luar sana. Apabila mulut tidak boleh berkata baik, akhirnya sendiri membuka pekung di dada.
Kepada rakan-rakan eBayer samada di dalam group tertutup, komuniti tertutup, gunalah perkongsian ilmu itu dengan sebaik mungkin. Jangan ditanam perasaan hasad dengki kerana akhirnya akan memakan diri.
Jumpa lagi,
Noorizam Shah