Monday, April 23, 2012

Jika Nak Berjaya Kena Berkawan Dengan Mereka Yang Berjaya

Jika Nak Berjaya Kena Berkawan Dengan Mereka Yang Berjaya

Fuh! Langkah perjalanan masih panjang. Kehidupan ini harus diteruskan. Saya mempunyai impian dan matlamat yang mesti saya tunaikan.

1. Saya mahu ubah kehidupan sekarang yang saya anggap biasa-biasa kepada kehidupan yang lebih baik dan luar biasa.

2. Saya tidak mahu 20-40 tahun lagi (dipanjangkan umur), kehidupan saya masih lagi seperti sekarang.

3. Saya mahu melihat anak-anak saya membesar dalam suasana yang lebih baik, terjamin, selamat dan mendapat pendidikan untuk dunia dan akhirat dengan sempurna.

4. Saya mahu buktikan bahawa anak kampung seperti saya juga mampu berjaya di bandar yang pesat membangun ini.

Ada banyak lagi perkara yang ingin saya buat untuk pastikan kehidupan hari ini lebih baik dari semalam dan sebelum-sebelumnya. Semua orang mempunyai impian sendiri. Masing-masing ada matlamat.

Ada juga yang berasa selesa dalam kepompong comfort zone. Mereka tidak fikir untuk keluar biarpun setapak untuk mengubah diri mereka. Mereka ingat apa yang mereka lalui sekarang sudah menjamin 100% kehidupan mereka 20-30 tahun akan datang.

Saya? Tidak mahu situasi selesa itu memberi kelekaan kepada saya. Sebab itulah saya mengambil keputusan untuk melakukan beberapa perkara dan pekerjaan bagi memastikan apa yang saya impikan terlaksana akhirnya.

Berapa ramai antara kita yang suka beralasan? Pernah tak kita mencipta alasan? Saya sendiri tidak terlepas dari mencipta alasan dan membuat satu-satu keputusan itu menjadi sia-sia.

Saya pernah tanya beberapa kenalan saya, samada mereka ingin mengubah hidup mereka kepada tahap yang lebih baik. Majoriti mereka memberi jawapan, mahu berubah.

Tetapi.. apabila kita memberitahu bagaimana cara untuk berubah, mereka menolak dengan memberi dan mencipta alasan. Ramai orang yang mempunyai penyakit alasan ini tidak mengaku yang mereka adalah orang yang sentiasa memberi alasan. Tidak banyak orang yang mahu mengaku yang mereka ini kurang pandai membuat keputusan sehinggakan penyakit yang mereka alami ini memakan diri mereka sendiri dari dalam.

Ini apa yang saya baca di dalam sebuah buku. Kebanyakan daripada kita melakukan dua kesalahan asas berkenaan dengan kepintaran:

1. Kita memandang rendah (underestimate) kepintaran diri sendiri.
2. Kita menjangka lebih (overestimate) mengenai kepintaran orang lain.

Disebabkan dua kesalahan ini, maka seseorang itu berasa rendah diri. Mereka tidak sanggup memikul tanggungjawab kerana menganggap apa yang mereka perlu lakukan itu agak mencabar. Alasan mereka, "Orang tu dikenali, bolehlah dia buat kerja tu."

Dalam waktu dia sibuk memikirkan soal itu, muncul pula individu lain yang langsung tidak memikirkan perkara apa yang difikirkan oleh pencipta alasan. Dia hanya melakukan perkara itu sehinggalah ia berjaya menyelesaikan kerja itu dengan cemerlang.

Jika kita lihat kepada orang yang tidak mencipta alasan, kalau dia boleh, mengapa kita tidak boleh?

Cuba anda tanya diri anda, kalau ada ramai yang boleh lakukan, kenapa anda tidak boleh?

Mentor saya sering berpesan, jika kita hendak berjaya, kita mesti berkawan dengan mereka yang berjaya. Jika kita selalu berkawan dengan rakan yang sering berkata negatif, kita juga akan jadi seperti mereka.

Sekarang, pilih siapa kawan anda yang sebenarnya!

Jumpa lagi,

Noorizam Shah
Like page saya di http://fb.com/noorizamshah

Whatsapp Button works on Mobile Device only

Start typing and press Enter to search