IPOH: Ada produk kesihatan di pasaran yang didakwa dihasilkan berasaskan buah istimewa, acai beri dikesan mengandungi kimia beracun sibutramine selain tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Setakat ini, tiga produk berasaskan acai beri disahkan mengandungi racun berjadual itu termasuk jenama ABC Acai Berry Soft Gel, Acai Berry Dietry Supplement dan Acai Berry Slimming Herbal.
Lima lagi produk acai beri iaitu Acai 1000mg Soft Gel, Acai Berry Detox, Acai Berry Extreme, Acai Berry Pure dan Acai Supreme Plus pula didapati dibawa masuk secara haram dan tidak berdaftar dengan KKM.
Kewujudan bahan kimia berjadual dalam produk berkenan dikesan hasil ujian makmal terperinci dilakukan pakar Bahagian Penguat Kuasa Farmasi (BPF) KKM sejak beberapa bulan lalu.
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Datuk Eisah Abdul Rahman dalam satu kenyataan media semalam berkata, bahan kimia sibutramine adalah sejenis ubat yang pernah diluluskan sebagai antiobesiti sebelum diharamkan penggunaannya oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah pada 23 Disember 2010.
“Kelulusan itu ditarik balik kerana kesan toksik yang membahayakan pengguna dan pernah menyebabkan beberapa kes mangsa menemui ajal.
“Sibutramine boleh meningkatkan tekanan darah dan kadar nadi pada sesetengah pesakit dan boleh memberikan risiko kepada pesakit yang mempunyai penyakit arteri koronari, kegagalan jantung kongestif, dan strok,” katanya.
Beliau berkata, produk acai beri yang mengandungi kimia itu juga boleh berinteraksi dengan ubat lain dan mengancam keselamatan pengguna.
“Pengguna perlu berhenti menggunakan produk itu serta-merta. Pengguna yang mengalami kesan sampingan boleh merujuk kepada pegawai perubatan bertauliah untuk nasihat dan rawatan,” katanya.
Eisah berkata, KKM menerima banyak aduan berhubung produk pelangsingan badan berasaskan acai beri yang dijual melalui Internet. “Sehubungan itu, BPF menjalankan risikan dan siasatan terhadap produk mengandungi acai beri. Difahamkan, acai beri adalah buah daripada sejenis pokok palma yang biasa tumbuh di tepi paya di kawasan hutan hujan Brazil.
“Bagaimanapun, hingga kini, tiada bukti saintifik menunjukkan acai beri boleh mempengaruhi penurunan berat badan atau mempunyai kesan positif terhadap kesihatan,” katanya.
Produk acai beri dibenarkan untuk dijual di Malaysia mempunyai nombor pendaftaran produk MAL yang sah.
“Produk kesihatan berdaftar adalah produk yang sudah dinilai KKM untuk keselamatan, keberkesanan dan kualiti. Mereka yang didapati menjual produk tidak berdaftar boleh didakwa mengikut Akta Jualan Dadah yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM25,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali,” katanya.
BPF sebelum ini bertindak menyerbu beberapa premis di Selangor dan Terengganu dan merampas produk ABC Acai Berry Soft Gel dan Acai Berry Dietry Supplement.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/24
-----------------------------------------------------
SEDIKIT PENCERAHAN:
Sesuatu produk itu ada sebab mengapa ia DIHARAMKAN. Dalam kes diatas, pihak KKM menyatakan bahawa produk tersebut mencampurkan SIBUTRAMINE. Sibutramine ini adalah bahan kimia yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan penggunaannya dalam produk dilarang oleh Kementerian Kesihatan sejak Disember 2010.
Larangan tersebut dilakukan kerana pengambilan sibutramine akan meningkatkan tekanan darah dan menyebabkan risiko kepada pesakit jantung dan boleh membawa maut.
Oleh itu, buah Acai yang dalam keluarga beri ini TIDAK BERBAHAYA. Malah terbukti berkhasiat seperti kebanyakkan buah yang berwarna ungu atau terang (merah, hijau, kuning dan lain-lain).
Yang menjadi masalah bila ada pihak TIDAK BERTANGGUNGJAWAB mencampurkannya dengan SIBUTRAMINE yang diHARAMKAN. Jika ada pihak pengeluar madu sekalipun atau kurma (sebagai contoh) mencampurkan apa sahaja bahan terlarang seperti Sibutramine, pastinya ia juga akan mengundang bahaya dan akan DIHARAMKAN oleh KKM.
Malangnya, masalah seperti ini menjadikan apa sahaja produk berasaskan Acai Berry dilihat berbahaya. Sesungguhnya Allah jualah yang menumbuhkan pokok Acai dan darinya keluar buah yang pastinya tidak sia-sia kejadiannya.
Firman Allah yang bermaksud: (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. (A-li'Imraan 3:191)
Sayangnya, tangan manusia jua yang merosakkannya...