Wednesday, October 1, 2014

Kisah Pakcik Tua Jual Keropok Ikan Yang Meruntun Jiwa


Selepas hantar anak saya ke sekolah, saya terus masuk ke pejabat seperti biasa. Kemudian saya keluar semula atas beberapa urusan di Shah Alam.

Selesai urusan, saya turun ke tingkat bawah Plaza Alam Sentral untuk makan tengahari. Mana lagi kalau bukan Restoran Anis Sup Utara. Selepas duduk dan memilih menu makanan, ekor mata saya nampak kelibat seorang pakcik tua dari jauh mengendong sesuatu datang masuk ke restoran.

Meja pertama yang dihampiri adalah meja saya memandangkan saya duduk di tepi sudut pintu masuk.

"Assalamualaikum, beli keropok cik," suara pakcik tua dalam loghat Kelantan. Suaranya perlahan hampir tidak kedengaran. Melihat pakcik tua, teringat wajah ayah saya di kampung. Boleh jadi lebih usia atau hampir seusia.

"Tak apa, terima kasih", balas saya sambil memandang wajah pakcik dengan angguk senyum. Kemudian saya menukar pandangan ke arah smartphone saya dengan alasan supaya pakcik berlalu pergi. Sebenarnya hati saya ni sangat lemah dan mahu sahaja membantu, tetapi tidak tahu kenapa bisik hati kata, "takpalah. janganlah."

Allah sedang menguji hambanya.

Pakcik ini masih berkata sesuatu kepada saya seperti mahu saya membeli keropok ini walaupun suaranya saya tidak jelas dan faham. Yang saya dengar, "Beli cik, buat bantu anak mengaji sekolah".

Bila saya kata, "tak mengapalah, terima kasih", akhirnya beliau menghulurkan tangan dan memohon salam dari saya. Saya hulurkan tangan bersalam dan pakcik terus berlalu ke meja seterusnya.

Kemudian, isteri saya menegur, "Bang, itu bukan keropok yang sedap tu ke? Rasanya mak beli keropok macam tu lah. Sedap. Susah nak dapat keropok sedap"

"Ya ke sedap? Mana tahu sedap? Kalau betul, beli lah" balas saya semula.

Ekor mata saya masih memerhati pakcik ini dari satu meja ke satu meja. Beberapa orang memberi wang dan membeli. Ada juga tidak.

Sebelum pakcik ni berjalan keluar dari restoran, saya lambaikan tangan memanggil pakcik. Beliau datang perlahan kepada saya,

"Berikan sebungkus keropok pakcik", pinta saya.

"Berapa ni pakcik?", isteri saya mencelah.

"Sepuluh ringgit je cik, buat bantu anak mengaji sekolah", dengan suara perlahan hampir tidak didengari. Boleh jadi pakcik ni bukan orang sini. Orang siam barangkali.

Baju melayu putihnya sangat lusuh. Kopiahnya juga begitu. Wajahnya penat. Meruntunkan hati saya melihat pakcik. Sekali lagi sebelum berlalu pergi, sesudah wang diberi, beliau hulurkan tangan untuk bersalaman. Saya balas juga dengan senyuman.

Pakcik tua terus berlalu pergi. Kebetulan di luar, seorang anak muda yang bekerja di restoran berselisih dengan pakcik tua dan bersalaman sambil mencium tangan pakcik si penjual keropok.

Saya beritahu isteri saya, "Harapan semoga si anak ini tahu bagaimana susahnya ayah dia membesarkan dengan mencari nafkah, menjual keropok dari meja ke meja, menahan malu mengharap supaya ada orang membeli. Jika si anak berjaya, hargailah ayahnya tanpa lupa diri"

P.s: Tak sempat nak snap gambar pakcik dan tak sempat nak belanja pakcik makan tengahari. Saya doakan pakcik dipermudahkan urusan dan dimurahkan rezeki.

Whatsapp Button works on Mobile Device only

Start typing and press Enter to search