Monday, January 5, 2015

Musibah dan Ujian Allah, Allah Sayang Kita

Musibah dan Ujian Allah, Allah Sayang Kita


Musibah dan Ujian Allah,

Itulah caranya Allah beri peringatan kepada kita supaya kita sentiasa bersujud dan tidak leka dengan kehidupan di dunia.

Allah tidak salahkan kita mengejar kekayaan di dunia. Kita carilah kekayaan seberapa banyak sekali pun tetapi kekayaan yang diperolehi itu dari jalan yang benar.

Allah berikan musibah kepada kita tanpa mengira darjat. Tidak kira kita berjubah, berserban, mengucap kalimah-kalimah Allah setiap hari.
 
Jika kita bongkak, angkuh, ego, merendah-rendahkan orang, tamak, apa juga pangkat kita, apa juga pakaian kita, apa juga latar belakang kita, apa juga kepercayaan kita,

Allah akan kenakan musibah dan ujian supaya kita berfikir dan belajar bahawa tiada kuasa yang lebih besar daripada Allah S.W.T


Kita lihat sekarang apa yang berlaku di pantai timur. 10 tahun lalu kita lihat apa yang terjadi kepada pesisir negeri Pulau Pinang. Apa yang terjadi dengan Cameron Highland. Musibah-musibah besar yang mengajak kita muhasabah diri. Berapa ramai daripada kita yang mengambil pengajaran dan pedoman dari musibah ini?

Dalam berniaga juga begitu.

Pengalaman saya sendiri, mendengar bicara dari mulut seseorang ahli bisnes yang fizikalnya nampak warak, alim, baik dalam waktu sama mengungkap dan berbicara seperti dalam keadaan bongkak, berlagak, tinggi diri, merendah-rendahkan orang, akhirnya Allah berikan ujian yang besar kepada beliau dan menyebabkan ujian itu terpalit dan memberi kesan kepada orang lain juga.

Umpama kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis semua yang terpalit.

Berhati-hatilah apabila kita menjalankan bisnes. Kita menggunakan hasil pendapatan dari perniagaan yang memaparkan aurat wanita seperti menonjolkan bahagian dada, menjual aurat wanita untuk dapatkan jualan kemudian mengerjakan umrah. Tanpa sedar kita menarik supaya musibah dekat kepada kita.

Tidak berlaku kepada kita, Allah turunkan dan tunjukkan musibah berhampiran kita, supaya kita berfikir adakah apa yang kita buat sekarang adalah betul dan mengikut landasannya.

Ada juga yang mengambil kesempatan dari situasi musibah banjir dengan menekan-nekan harga untuk keuntungan sendiri. Sebagai contoh menjual air mineral RM5.00 untuk 500ml, menjual penyapu lidi RM10.00 sebatang dan sebagainya.

Dengan keadaan mereka yang menghadapi musibah, rumah telah musnah, punca pendapatan hilang sementara, kita sebagai orang bisnes pula mengambil kesempatan dengan menaikkan harga kerana stok yang ada sangat terhad.

Ada juga yang mengambil kesempatan dengan berpakat-pakat mendapatkan produk usahawan, membeli produk yang mana jualan produk tersebut diadakan bagi tujuan membantu mangsa banjir. Membeli produk secara pakatan dan mengambil kesempatan untuk mendapatkan ilmu tanpa niat suci kerana Allah taala.

Bukanlah sebab utama untuk menyumbang dan membantu tetapi lebih kepada ingin mendapatkan manfaat dari ilmu yang disumbang oleh usahawan-usahawan bagi jualan amal tersebut.

Sangat menyedihkan lagi, apabila ada yang menjadikan cara hidup barat, melamar pasangan di hadapan ribuan mata memandang, menjadi saksi lamaran yang terbukti bukanlah dari ajaran agama islam yang sebenar. Yang mana ia akan menjadi ikutan generasi akan datang jika kita menganggap perkara yang berlaku sekarang tidak memberi kesan apa-apa.

Semoga Allah tunjukkan kita jalan yang benar.

Whatsapp Button works on Mobile Device only

Start typing and press Enter to search