Thursday, September 13, 2018

Cara Rawat Sakit Belakang Mengguna Kaedah Terapi

Cara Rawat Sakit Belakang Mengguna Kaedah Terapi



Rata-rata warga kota yang bekerja di pejabat menghabiskan masa lebih lapan jam sehari di hadapan komputer. Duduk dengan posisi yang sama setiap hari tanpa melakukan senaman ringan menyebabkan tulang belakang berada dalam keadaan tertekan. Lama-kelamaan rasa sengal, sakit dan lenguh yang pada mulanya dianggap hanya sebagai perkara biasa menjadi semakin serius.
Bermula dengan rasa cucukan secara tiba-tiba ia menjadi semakin panas dan membuatkan kesakitan berpanjangan pada bahagian belakang badan yang ada kalanya menjalar sehingga ke kaki.
Ia bukan saja mengganggu pergerakan, tetapi membuatkan individu tidak boleh duduk dalam tempoh yang lama. Kesannya bukan kepada kualiti kerja saja, tetapi juga mempengaruhi rutin seharian.


Selain pekerja pejabat, menunggang motosikal dalam tempoh yang lama turut menjadi penyebab sakit belakang yang serius. Ini kerana badan penunggang atau pembonceng seakan-akan dilambung-lambung ketika motorsikal bergerak dan menyebabkan tulang belakang berada dalam keadaan tertekan.
Bagi mereka yang pernah mengalami masalah sakit belakang pasti berpendapat ia disebabkan cakera tergelincir yang berpunca daripada terjatuh atau hentakan kuat pada badan.
Namun, bukan semua sakit belakang berkaitan cakera tergelincir. Sakit belakang sebenarnya dikaitkan dengan masalah terseliuh pinggang misalnya duduk terlalu lama yang menyebabkan postur ini menekan otot dan tulang seterusnya sendi menjadi kaku atau keras.
Sebenarnya lebih 60 hingga 80 peratus kesakitan disebabkan postur badan yang tidak betul dan berada dalam satu kedudukan dalam tempoh lama manakala 10 ke 20 peratus pula disebabkan kecederaan dan mengangkat barang berat.
Menurut Pakar Bedah Ortopedik dan Tulang Belakang Hospital Pusrawi Dr Sallehuddin Abdullah, setiap hari dia menerima pesakit yang mengadu sakit pada bahagian belakang. Kebanyakan mereka masih dalam lingkungan usia 50-an dan tidak pernah mengalami kemalangan atau terjatuh. Selepas melakukan sesi soal jawab rata-rata mereka adalah pekerja pejabat dan juga penunggang motosikal.
“Pada mulanya golongan ini mengabaikan kesakitan kerana beranggapan ia perkara biasa. Lama-kelamaan, sakit tidak berkurangan malah mereka mengalami rasa kebas dan bahagian belakang menjadi lemah sedikit demi sedikit.
“Jika dulu ramai doktor mencadangkan pembedahan sebagai jalan terakhir tetapi ada kaedah terkini iaitu rawatan Spinaut yang membantu mengurangkan kesakitan serta pemulihan dalam masa singkat,” katanya.
Guna gelombang radio
Untuk rawatan Spinaut, ia menggunakan gelombang radio tetapi dilakukan menerusi saraf tunjang. Ia tidak membabitkan pembedahan sebaliknya satu kaedah suntikan dalam merawat kesakitan kronik pada bahagian belakang badan.
“Menerusi rawatan ini jarum akan disuntik pada bahagian tulang belakang, alat yang dinamakan Spinaut yang hujungnya seakan-akan dawai halus dan boleh digerakkan dimasukkan ke dalam saraf tunjang. Alat ini akan disambung pada wayar elektrik gelombang radio yang bersambung dengan mesin gelombang radio khas,” katanya.
Untuk mendapatkan ketepatan, Spinaut bersambung dengan kawalan imbasan sinar-X bagi membolehkan pakar melihat dengan jelas bahagian dalaman tulang belakang. Apa yang pasti menerusi suntikan ini, kerosakan fizikal pada saraf dapat dirawat secara lebih mendalam dan tepat manakala saraf akan berfungsi seperti biasa, hanya rasa sakit yang disekat.
“Dengan panjang sekitar 1.7 milimeter Spinaut mampu memasuki bahagian tulang belakang dan tepat ke bahagian yang diinginkan. Ia juga memberikan teknik yang mudah untuk mendiagnosis secara visual penyebab sakit belakang di tulang belakang pesakit. Endoskop sehingga 17,000 piksel dalam tulang belakang mampu merawat masalah tulang belakang dengan ubat sesuai. Pendekatan sehingga ke ruang epidural meringankan masalah sakit tulang belakang pesakit, “ katanya
Berbanding pembedahan, kaedah ini adalah lebih selamat namun ia perlu dilakukan pakar terlatih yang pernah melakukan rawatan membabitkan gelombang radio. Kesakitan selepas rawatan juga dapat dikurangkan dan paling penting pesakit tidak perlu berehat terlalu lama sebaliknya dalam masa tiga minggu mereka boleh kembali bekerja.
Untuk kesan yang optimum pesakit disarankan menjalani sesi fisioterapi bagi merangsang otot sekali gus mengurangkan kesakitan. Fisioterapi yang dilakukan dengan betul menjadikan pemulihan lebih cepat.
Menurut Fisioterapi Hospital Pusrawi Mohd Shah Fardaus Shabuddin, sebelum melakukan fisioterapi, bahagian tulang belakang pesakit diperiksa bagi menilai tahap kesakitan. Kemudian kaedah rawatan akan diberikan sama ada membabitkan elektron, imbasan ultra atau manual.
“Kaedah elektron digunakan pada bahagian belakang iaitu dengan meletakkan sejenis alat pada bahagian tumpuan. Ia berfungsi dengan mengalirkan elektron dan memberikan tindak balas pada bahagian terbabit. Selepas 15 minit pesakit akan merasai ketegangan namun lama-kelamaan ia akan hilang. Kaedah imbasan ultra digunakan untuk membaikpulih otot. Ia dilakukan bergantung kepada keadaan pesakit,” katanya.
Akhir sekali senaman ringan bermula dengan menarik lutut ke dada mampu memberikan kelegaan kepada pesakit. Lama-kelamaan otot kembali berfungsi dan berada dalam keadaan normal. Apabila pulang ke rumah pesakit boleh melakukan senaman ringan sebagai asas mengurangkan ketegangan otot.
Panduan elak sakit belakang
Duduk dengan betul 
Cara: Rapatkan punggung kemudian sandarkan belakang pada penyandar tempat duduk sepenuhnya untuk mengurangkan tekanan pada cakera tulang belakang. Pastikan ketinggian tempat duduk sesuai dan kedudukan paha selari dengan lantai. Elakkan duduk terlalu lama terutama sekiranya kerusi terlalu keras, selepas 15 minit gerakkan badan, bangun atau lakukan senaman ringan.
Mengangkat barang 
Cara: Bengkokkan kaki, bukan tulang belakang anda. Bawa beban rapat pada tubuh. Keraskan otot perut sewaktu mengangkat. Jika bebanan terlalu berat jangan memaksa sebaliknya minta bantuan dengan individu lain.
Memandu
Cara: Cari posisi selesa ketika memandu. Duduk tegak kemudian gerakkan tempat duduk ke hadapan agar lutut berada selaras dengan pinggang. Untuk perjalanan jauh, sokong bahagian bawah belakang menggunakan tuala yang digulung atau penyokong pada leher sekiranya perlu.
Bagi penunggang motorsikal, laluan jalan berbonggol akan menyebabkan tulang belakang tertekan. Menunggang terlalu lama juga akan menyebabkan kesakitan tulang belakang. Pastikan anda berhenti rehat untuk perjalanan jauh kemudian lakukan senaman ringan dengan menggerakkan badan sebelum menyambung perjalanan semula.
Tidur 
Cara: Tidur di atas tilam yang tidak terlalu lembut dan tidak terlalu keras. Untuk kesan yang sempurna apabila tidur mengiring, bengkokkan sedikit lutut supaya bersentuhan atau apabila tidur menelentang, letakkan bantal di bawah lutut agar posisi berada dalam keadaan selesa manakala tulang belakang tidak tertekan.
Berdiri dan Berjalan 
Cara: Postur badan ketika berdiri dan berjalan turut memberi kesan kepada tulang belakang anda. Sekiranya anda perlu berdiri terlalu lama pastikan anda menukar posisi anda sekerap mungkin. Pastikan anda berdiri tegak dengan kepala lurus memandang ke hadapan.
Untuk berjalan pula, pastikan anda berjalan dengan cara yang betul iaitu dagu ke dalam, kepala tegak memandang ke hadapan dan jari kaki mengarah ke hadapan. Elakkan kasut bertumit tinggi sebaliknya cari kasut yang mempunyai tumit rendah atau rata serta tidak memberikan kesakitan ketika berjalan.



herba untuk sakit lutut
ubat sakit lutut terbaik
ubat sapu sakit lutut farmasi
petua sakit lutut epal hijau
cara merawat sakit lutut secara tradisional
cara menghilangkan sakit lutut dengan cepat
pokok herba untuk sakit lutut
osteoarthritis lutut

Whatsapp Button works on Mobile Device only

Start typing and press Enter to search